Panduan · Dikemas kini:
Cara integrate FPX ke website: 3 cara, caj dan langkah sebenar
Ada 3 cara untuk integrate FPX ke website sendiri. Untuk kebanyakan bisnes kecil, cara paling mudah dan murah ialah payment gateway tempatan seperti Billplz, toyyibPay atau CHIP, dengan caj sekitar RM1.00 hingga RM1.25 setiap bayaran FPX dan duit masuk dalam 1 hingga 4 hari bekerja.
Cara 1: Payment gateway tempatan
Billplz, toyyibPay, CHIP, HitPay
- Caj
- RM1.00 hingga RM1.25 setiap bayaran FPX (HitPay: 1.8% + RM0.40)
- Duit masuk
- Hari bekerja berikutnya hingga 4 hari bekerja
- Sesuai untuk
- Kebanyakan bisnes kecil dan SME. Caj tetap, jadi paling jimat untuk bayaran besar.
Cara 2: Stripe FPX
Stripe Checkout atau Payment Element
- Caj
- 3% + RM1.00 setiap bayaran FPX
- Duit masuk
- Sehingga 5 hari bekerja
- Sesuai untuk
- Bisnes yang dah guna Stripe untuk kad atau langganan, dan nak satu dashboard.
Cara 3: Terus dengan bank atau PayNet
Melalui bank atau pakej enterprise gateway
- Caj
- Dirunding ikut volume
- Duit masuk
- Ikut perjanjian
- Sesuai untuk
- Organisasi besar dengan volume tinggi. Bukan untuk bisnes kecil.
Ditulis oleh Wan Nabil, yang bina sistem tempahan, langganan dan bayaran untuk bisnes di Malaysia. Caj disemak di laman harga setiap gateway pada 16 November 2026; sila sahkan semula sebelum daftar.
Apa itu FPX dan kenapa website anda perlukannya?
FPX (Financial Process Exchange) ialah cara bayar online guna perbankan internet, dikendalikan oleh PayNet bersama bank-bank Malaysia. Pelanggan pilih bank, log masuk ke Maybank2u, CIMB Clicks atau app bank lain, dan luluskan bayaran. Untuk pemilik bisnes, FPX penting sebab ramai pelanggan Malaysia lebih selesa bayar dari akaun bank daripada masukkan nombor kad. Website tak boleh sambung terus ke FPX sendiri: anda perlukan payment gateway (atau Stripe) yang dah jadi peserta FPX, dan website anda bercakap dengan gateway tu melalui API.
Apa yang pemilik bisnes perlu sedia sebelum integrate FPX
Kerja code untuk FPX biasanya bukan bahagian paling lama. Yang selalu buat lambat ialah akaun gateway yang belum diluluskan. Sediakan perkara ni dulu supaya pendaftaran gateway FPX berjalan lancar:
- Nombor pendaftaran bisnes (SSM). Stripe, contohnya, wajibkan Business Registration Number untuk terima FPX dan payout.
- Akaun bank untuk terima payout, dan dokumen pemilik yang gateway minta semasa semakan akaun.
- Website yang dah live dengan maklumat bisnes, harga, cara hubungi, terma dan polisi refund. Gateway seperti Stripe semak website anda semasa aktifkan akaun.
- Senarai apa yang dijual dan anggaran jumlah setiap bayaran, sebab ia tentukan gateway mana paling murah.
Bagaimana bayaran FPX berfungsi di website: 5 langkah
Billplz, toyyibPay dan Stripe guna aliran FPX yang hampir sama. Bila anda faham 5 langkah ni, anda boleh tukar gateway kemudian tanpa ubah cara pesanan disimpan.
Langkah 1: Website cipta bil
Bila pelanggan tekan Bayar, server website anda hantar jumlah, nama dan nombor rujukan pesanan ke API gateway. Gateway pulangkan link bil (Billplz panggil Bill, toyyibPay panggil billCode, Stripe panggil Checkout Session).
Langkah 2: Pelanggan dibawa ke page bayaran
Website hantar pelanggan ke link tu. Pelanggan pilih bank FPX dia (Maybank2u, CIMB Clicks dan lain-lain) dan log masuk ke perbankan internet sendiri.
Langkah 3: Bank sahkan bayaran
Pelanggan luluskan bayaran dalam app atau laman bank. FPX dikendalikan oleh PayNet bersama bank-bank Malaysia, jadi duit bergerak terus dari akaun bank pelanggan.
Langkah 4: Gateway hantar callback ke server anda
Gateway hantar POST dari server ke server (callback atau webhook) dengan status bil: berjaya atau gagal. Inilah satu-satunya bukti bayaran yang patut dipercayai.
Langkah 5: Website tanda pesanan sudah dibayar
Server sahkan callback tu tulen, semak jumlah dan nombor rujukan, tanda pesanan sebagai dibayar sekali sahaja, kemudian hantar resit. Page "terima kasih" cuma papar status yang server dah simpan.

5 kesilapan callback FPX yang buat bayaran hilang atau palsu
Hampir semua masalah "pelanggan dah bayar tapi sistem kata belum" datang dari bahagian callback FPX. Ni kesilapan yang kami elakkan dalam setiap integrasi bayaran yang kami bina.
1. Percaya page redirect sebagai bukti bayaran
Bila pelanggan kembali ke website selepas FPX, URL redirect tu boleh ditaip sendiri oleh sesiapa, dan kadang-kadang pelanggan tutup tab sebelum redirect berlaku. Billplz sendiri tulis integrasi callback_url adalah wajib, dan susunan callback dengan redirect tak tetap. Tanda pesanan FPX sebagai dibayar hanya dari callback yang disahkan.
2. Tak sahkan tandatangan callback FPX
Callback FPX yang tak disahkan boleh dipalsukan oleh orang yang tahu URL anda. Setiap gateway beri cara semak: Billplz hantar x_signature (HMAC-SHA256 dengan X Signature key anda), toyyibPay hantar hash yang mesti disemak sebelum proses bayaran, dan Stripe tandatangan setiap webhook. Kira semula di server dan tolak callback yang tak sepadan.
3. Proses callback yang sama dua kali
Gateway boleh hantar callback FPX yang sama lebih dari sekali, contohnya bila server anda lambat jawab dan gateway cuba hantar semula. Kalau setiap callback tambah stok, hantar email atau panjangkan langganan, pelanggan dapat dua kali. Simpan ID bil atau ID event yang dah diproses dan abaikan ulangan.
4. Lupa bayaran FPX yang disahkan lambat atau gagal
Tak semua bayaran FPX selesai serta-merta. Stripe nyatakan bayaran FPX B2B (akaun bisnes) papar pending dulu, dan dalam sistem kami sendiri kami kendalikan dua event berasingan: async_payment_succeeded (bank sahkan kemudian) dan async_payment_failed (bank tolak). Jangan bagi akses sebelum berjaya, dan biar pelanggan bayar semula kalau gagal.
5. Tiada semakan semula bila callback hilang
Kalau server down masa callback FPX sampai, pesanan tu tersangkut sebagai belum bayar walaupun duit dah masuk. Buat satu cron yang tanya gateway status bil yang masih pending (toyyibPay ada API getBillTransactions, Billplz dan Stripe boleh dibaca semula ikut ID). Dalam sistem kami, cron ni yang betulkan pesanan yang terlepas.
Cara uji FPX dalam sandbox sebelum live
Jangan uji integrasi FPX dengan duit sebenar. Setiap gateway ada persekitaran ujian dengan bank simulator: Billplz Sandbox (billplz-sandbox.com, ada bank "Billplz Simulator"), toyyibPay di dev.toyyibpay.com, dan mod test Stripe. Akaun sandbox dan akaun live berasingan, dengan kunci API yang berbeza.
Satu perkara yang selalu terlepas: callback FPX tak boleh sampai ke localhost (toyyibPay nyatakan ni dalam rujukan API mereka). Uji di URL awam, contohnya preview deploy atau tunnel. Sebelum tukar ke kunci live, pastikan lima situasi ni berjalan betul:
- Bayaran berjaya: pesanan jadi dibayar, resit dihantar sekali sahaja.
- Bayaran gagal atau ditolak bank: pesanan kekal belum bayar, pelanggan boleh cuba lagi.
- Pelanggan tutup tab di page bank: callback masih tanda status yang betul.
- Callback yang sama dihantar dua kali: tiada resit atau stok berganda.
- Callback dengan tandatangan salah: ditolak dan direkod.
Caj FPX setiap gateway: contoh bayaran RM50
Caj FPX berbeza ikut gateway. Kebanyakan gateway tempatan caj harga tetap setiap bayaran, manakala HitPay dan Stripe caj peratus campur harga tetap. Jadual ni tunjuk caj FPX B2C (akaun peribadi) untuk satu bayaran RM50, dari laman harga setiap gateway pada 16 November 2026.
| Gateway | Kadar FPX | Caj untuk RM50 | Duit masuk |
|---|---|---|---|
| toyyibPay Standard | RM1.00 flat | RM1.00 | 1 hingga 4 hari bekerja |
| CHIP | RM1.00 + 8% SST | RM1.08 | Hari berikutnya |
| Billplz Basic (percuma) | RM1.25 flat | RM1.25 | Hari bekerja berikutnya |
| Billplz Standard (RM999/tahun) | RM0.75 flat | RM0.75 | Hari bekerja berikutnya |
| HitPay | 1.8% + RM0.40 | RM1.30 | T+1 hari bekerja |
| Stripe | 3% + RM1.00 | RM2.50 | Sehingga T+5 |
Untuk bayaran kecil (bawah lebih kurang RM33), HitPay yang ikut peratus boleh jadi lebih murah daripada caj tetap RM1.00. Untuk bayaran besar, caj tetap RM1.00 hingga RM1.25 jauh lebih murah daripada Stripe. FPX B2B (akaun bisnes) lebih mahal: RM2.00 di toyyibPay dan CHIP, RM3.00 di Billplz Basic. Ingat juga, FPX di Stripe tak boleh guna untuk bayaran berulang automatik; untuk langganan, pelanggan bayar sekali bagi satu tempoh, atau guna kad.

Bila FPX dalam Shopify atau WooCommerce dah cukup
Kalau anda cuma jual produk dengan troli biasa, anda mungkin tak perlu integrate FPX dengan code langsung. Gateway tempatan dah ada plugin siap: toyyibPay ada plugin WooCommerce, HitPay ada plugin Shopify, WooCommerce dan Wix, dan Billplz sebut lebih 30 plugin. Pasang, masukkan kunci API, dan FPX siap. Tapi kira cajnya: di Shopify Basic, kedai Malaysia bayar caj transaksi pihak ketiga Shopify di atas caj gateway. Perbandingan penuh ada di caj Shopify vs kedai online sendiri.
Integrasi FPX custom masuk akal bila bayaran tu sebahagian daripada sistem: tempahan dengan deposit, bil bulanan, yuran ahli, langganan, atau bila status bayaran perlu terus kemas kini rekod pelanggan dan hantar resit sendiri.
Nak kami pasang FPX di website atau sistem anda?
Miracle Mikhael ialah studio kecil di Selangor yang dijalankan oleh Wan Nabil. Kami bina sistem bisnes custom dengan bayaran FPX, tempahan dan resit automatik. Sistem custom bermula dari RM5,000 dan website bisnes dari RM1,500, dengan sebut harga bertulis yang tetap ikut skop sebelum kerja bermula. Kalau FPX tu untuk satu tawaran yang dijual dengan iklan, baca juga contoh landing page jualan dan kos buat website di Malaysia.
Sumber caj dan peraturan FPX
Semua caj dan peraturan FPX di page ni disemak di sumber berikut pada 16 November 2026: